Setareh Minda


ShoutMix chat widget

Rabu, 21 Oktober 2009

USMB & KEBERKATAN ULAMA

Assalammualaikum para pembaca sekalian. Lama sungguh blog ini tidak diupdate dek kesibukan dengan tugas bersama persatuan menguruskan adik-adik baru. Alhamdulillah masih lagi diberi peluang untuk menghirup udara-NYA yang PERCUMA dan masih lagi dalam nikmat-NYA yang tak terhingga iaitu nikmat ISLAM DAN IMAN.

Perjalanan hidup di Kaherah amat berbeza sekali kalau dibandingkan dengan kehidupan di Tanta. Demi membantu rakan-rakan dalam persatuan diri ini sudi untuk berkampung selama seminggu lebih di Kaherah walaupun masih keletihan dek cuaca yang tidak menentu serta kepenatan dalam menguruskan adik-adik baru yang datang selang seminggu dari tempoh rakan-rakan mereka yang terdahulu.

Tahniah dan syabas buat semua yang sudi mengerahkan tenaga dan idea dalam menjayakan USMB 09. Walaupun program kelihatan agak hambar disebabkan kepenatan peserta(pelajar baru) yang keletihan disebabkan kepadatan tenpoh waktu yang ada namun berkat usaha AJK pelaksana, program berjaya diadakan dalam tempoh yang ditetapkan.

p/s: lepas ni standby pulak untuk KEJORA ye kawan-kawan
-----------------------------------
Dalam kepenatan menguruskan adik-adik baru, ia tidak melemahkan semangat diri ini untuk mengikuti progrm anjuran PMRAM yang julung kali diadakan iaitu KUTUB SITTAH 09 ( KS-09).Program yang bermula pada 17-20 November itu melakarkan satu sejarah dan lembaran baru buat semua yang hadir demi mengutip bicara-bicara hikmah dan mutiara beharga dari masyaikh Al-Azhar secara terus.

Walaupun masih letih, namun dalam usaha mencari dan menambah ilmu peluang yang ada ini tidak sekali-kali dilepaskan begitu sahaja oleh para pelajar yang berada di sini termasuk diri ini. Program yang diadakan ini hampir-hampir dibatalkan dek KERAKUSAN DAN KEZALIMAN pihak yang tidak bertanggungjawab. Akibat takut dengan bayang-bayang sendiri atau takut dengan kebangkitan suara mahasiswa di sini menyebabkan program berbentuk ilmiah yang telah terkubur lama ini dinafikan haknya utnuk menggunakan dewan yang sememangnya menjadi tempat asal program.

Benarlah dan berjayalah bgi mereka-mereka yang sabar. Pada hari pertama progam yang dijadualkan diadakan di Al-Azhar Conference Center (ACC) terpaksa dipindahkan ke Rumah Johor yang berdekatan dengan ACC. Allah bersama mereka yang sabar dan sentiasa memelihara mereka yang tabah dalam menuntut ilmu. Meriah dan sangat memberi satu pengalaman yang beharga kerana program tersebut dapat dijayakan dengan baik dan majlis perasmian juga memukau ratusan peserta yang hadir. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Usamah al-Azhari. Turut hadir pada majlis tersebut adalah al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq.

Majlis pembacaan hadis Rasulullah s.a.w daripada kitab Sahih Bukhari dimulakan pada jam 1.15 petang secara bergilir-gilir oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq, al-Allamnah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani dan al-Allamah Syeikh Dr. Usamah al-Azhari. Sekitar jam 2.45 petang, majlis berhenti rehat seketika dan sesi pembacaan Sahih Bukhari kembali diteruskan pada jam 3.45 petang oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq sehingga waktu maghrib.

Majlis pembacaan diteruskan seusai solat maghrib oleh al-Allamah Syeikh Dr. Rifa'at Fauzi Abdul Mutalib ditemani al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani. Sepanjang majlis berlangsung, para masyaikh telah membaca Sahih Bukhari bermula daripada hadis yang pertama pada Kitab Bad el Wahyi sehingga hadis yang ke 186 pada Kitab al Wudu'. Majlis berakhir sekitar jam 8.30 malam.


Dari kiri: Syeikh Dr.Yusri Jabbar, Syeikh Dr. Jamal Farouk dan
Syeikh Dr. Usamah Al-Azhari


HARI KEDUA

Pembacaan kitab Sahih Bukhari pada hari ini bermula pada hadis yang ke 187 pada kitab al-Wudu' oleh al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani. Majlis kemudianya diteruskan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Jamal Farouq yang bergandingan dengan Syeikh Dr. Usamah sehingga solat maghrib. Turut bersama pada malam ini adalah al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani yang menyampaikan pembacaan seusai solat maghrib.

Majlis yang berlangsung dengan lancar pada hari ini tanpa sebarang gangguan berjaya menghabiskan sebanyak 689 buah hadis dan menjadikan sebanyak 874 buah hadis telah dibaca sehingga hari kedua majlis berlangsung.

Para masyaikh yang hadir meluahkan rasa amat berbangga dan berpuas hati kerana Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir buat julung kali mengadakan Majlis Sama' Ahadis Rasulullah sebegini kerana majlis seperti ini sudah sekian lama tidak diadakan. Para masyaikh juga mengharapkan agar majlis ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia adalah sunnah dan merupakan sebuah majlis ilmu yang penuh dengan keberkatan.

HARI KETIGA

Pembacaan hadis Sahih Bukhari pada hari ini dimulakan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani bermula pada Kitab al Jumuah. Semasa waktu rehat, majlis diserikan dengan persembahan Qasidah daripada peserta negeri Selangor. Turut membacakan hadis pada hari ini adalah al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani dan Syeikh Dr. Usamah Mahmud al-Azhari.

Pembacaan hadis daripada Kitab Sahih Bukhari yang dimulakan pada hadis yang ke 875 pada Kitab al Jumuah sehingga hadis yang ke 1465 pada Kitab al-Zakat dengan jumlah pembacaan pada hari ini adalah sebanyak 591 buah hadis.

Majlis diakhiri dengan slot muhadhoroh bersama al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani. Antara yang menarik sesi tersebut, al-Allamah Syeikh Muhammad menceritakan tentang kisah hidup beliau dalam mendalami ilmu hadis, menegaskan tentang peri penting ilmu hadis dan beliau juga amat mengharapkan agar majlis pembacaan hadis-hadis Rasulullah dapat diteruskan pada masa akan datang. Beberapa cadangan yang dilontarkan oleh al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani adalah mengadakan majlis pembacaan hadis pada setiap minggu dan mengkhatamkan kitab hadis sahih pada setiap kali dalam bulan Ramadhan.



Kelihatan Syeikh Dr.Usamah Al-Azhari berbincang sesuatu
bersama Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kattani.

HARI KEEMPAT

Majlis pembacaan Kitab Sahih Bukhari pada hari ini diadakan di Nadi Riyadhi Hayyu Sadis, Kaherah. Program bermula seawal pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 5.40 petang. Alhamdulillah, pembacaan hadis dari Kitab Sahih Bukhari telah berjaya disempurnakan bermula dari Hadis 1466 sehingga hadis akhir pada Kitab Al-Hajj.

Pada sebelah malam selepas Maghrib, telah diadakan ceramah ringkas dari beberapa orang masyaikh sehingga waktu Isya dan majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Mufti Mesir iaitu Syeikh Dr.Ali Jumuah.Beliau telah mengijazahkan sanad ammah Hadis Bukhari kepada peserta yang hadir dan bersama-sama pada majlis penyerahan sijil penyertaan kepada Graduan Tahun Akhir Universiti Al-Azhar. Tahniah untuk kalian yang berjaya. Semoga ilmu yang ada diberkati dan dapat dimanfaatkan sebaiknya ketika berada di lapangan masing-masing kelak. AMIN

Sesungguhnya majlis yang penuh gilang gemilang ini amat memberi kesan yang mendalam dan diharapkan dapat diteruskan kelak dengan izin-Nya. Insya`ALLAH.


Majlis penutup pembacaan Kutub Sittah



Dari kiri: Syeikh Saad Jarwish, Dr. Yusri, Syeikh Muhammad Ibrahim,
Syeikh Dr.Ali Jumuah, Syeikh Jamal Farouk dan
Syeikh Usamah Al-Azhari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan